Saintis masih kaji tempat tinggalan arkeologi ‘bandar sains’ berdasarkan kepada cerita Plato
GAMBARAN ibu kota Atlantis yang dibina di tengah pulau seperti
diceritakan Plato.
SELEPAS terdiam sejenak, Plato memulakan ceritanya. Antara cebisan kisah seperti diceritakan ahli falsafah Greek sekitar abad ke-350 itu berbunyi lebih kurang begini:
Terdapat sebuah pulau besar yang hebat di Lautan Atlantik, ribuan tahun sebelum zaman kelahirannya dan pulau itu dinamakan Pulau Atlas atau ‘Atlantis’.
Pulau itu sungguh hebat dan sudah mencapai kemuncak sains dan teknologi (walaupun ketika itu sudah ribuan tahun berlalu daripada sekarang)!
Aspek sains dan teknologi terlalu maju sehingga dikatakan terdapat kapal udara bagi mengangkut tentera, terbang tanpa menggunakan minyak. Saintisnya berjaya mencipta aloi misteri yang bercahaya dan amat keras.
Kemajuan sains juga sehingga penyelidik Atlantis pandai melakukan kacukan haiwan dan tumbuhan selain mempunyai alat komunikasi seperti sidang televideo yang jauh lebih hebat daripada teknologi yang dicipta abad ini.
Setiap ilmu dan ciptaan teknologi yang dimiliki saintis negara itu akan dikongsi bersama seluruh warga Atlantis untuk membolehkan kemajuan dipertingkatkan.
Atlantis (kononnya) kurniaan tuhan kepada dewa laut, Neptune yang memiliki lima pasang anak kembar dan setiap seorang diberikan kawasan tertentu untuk ditadbir.
Keluasannya 600 darab 400 kilometer persegi dan memiliki ladang luas (seluas Oklohama, Amerika syarikat) sehingga mampu menampung makanan 15 juta hingga 30 juta penduduk. Tenteranya saja seramai 1.6 juta orang.
Negara itu disinari matahari terik sepanjang tahun. Selain tanaman seperti pisang, nanas dan kelapa sebagai tanaman utama, rantau Atlantis dipenuhi bijih timah dan emas.
Bandar rayanya indah sekali, terusan besar dibina menghubungkan bandar dengan
lautan bagi memudahkan kapal belayar terus ke bulatan air; jambatan merintangi bulatan pula dikelilingi taman indah, pokok subur dan puluhan air pancuran berkilauan.
Ibu kotanya dibina di tengah pulau dengan bangunan mewah disusun harmoni menghasilkan seni landskap memukau. Bangunan disusun berselang seli dengan batu bata hitam, putih dan merah. Bangunan mewah dihias pancuran air panas dan sejuk selain dewan makan dan dinding konkrit dibuat daripada batu bata berharga.
Dalam Atlantis ada istana, tempat ibadat, pelabuhan, sistem perairan canggih, universiti, makmal dan bangunan akademik yang menjadi pusat kajian sains dan kemanusiaan.
Begitu lama Atlantis hidup gah dengan kemewahan dan kemajuan pembangunan serta tamadun sehingga menyebabkan penduduknya mula takbur dan melakukan dosa.
Akhirnya, lantaran dosa dan sikap penduduknya, kemajuan teknologi dan kehebatan Atlantis yang dicapai sebegitu lama akhirnya musnah dalam tempoh semalaman.
Atlantis akhirnya tenggelam ke dasar laut akibat hukuman yang dinatijahkan menerusi letupan gunung sucinya iaitu Atlas.
Demikianlah antara cedukan maklumat hasil keterangan Plato mengenai tamadun Atlantis yang kini terus menjadi misteri di kalangan pengkaji profesional sehinggalah kepada rakyat biasa di seluruh dunia.
Pengkaji terus mencari di manakah sebenarnya lokasi Atlantis pada bulatan Bumi sebelum ia tenggelam. Pelbagai maklumat geografi hasil kisah Plato seperti dicatat dalam ‘Timaeus and Critias’ terus dikaji dan dirujuk silang dengan topografi ketika ini.
Harapan untuk menjumpai kesan tamadun Atlantis tidak pernah padam kerana sesiapa yang berjaya menemui arkeologi tinggalan benua itu digambarkan akan menjadi individu atau pihak ‘paling berkuasa’ di muka Bumi!
Ini disebabkan Atlantis digambarkan memiliki teknologi canggih termasuk keupayaan ketenteraan yang melebihi kemampuan teknologi dicapai manusia abad ini. Ia memang menakjubkan tambahan pula jika dilihat kecanggihan itu dicapai lebih 11,000 tahun lalu!
Keterangan Plato menyebabkan ramai berfikir dua kali kerana sebelum ini, mereka menyangka sains dan teknologi baru saja berkembang sekitar 1,000 tahun lalu. Mana mungkin 11,000 tahun lalu sudah ada dunia futuristik yang lebih hebat daripada sekarang?
Tetapi jika benar dunia Atlantis yang amat maju itu wujud, maka penemuan tinggalan arkeologi tamadun itu bakal menyingkap pelbagai rahsia sains dan teknologi yang masih belum dicapai manusia ketika ini seterusnya mampu memberi kuasa pengetahuan yang hebat kepada sesiapa yang menemuinya!
Justeru, pengkaji berlainan bangsa daripada seluruh dunia terus-menerus meneliti rekod dialog Plato mengenai tamadun yang dikatakan lebih awal daripada tamadun Mesir, Babylon Mesopotamia, Inca dan Greek itu selain meneliti keadaan geografi Bumi kini.
Antara meraka adalah Pakar Kejuruteraan Nuklear Brazil, Arysio Nunes dos Santos, yang mendapati latar tempat cerita Plato menyamai kawasan Nusantara khususnya Indonesia.
Pelbagai hasil kajian yang ditemuinya menolak teori lain yang mengatakan Atlantis terletak di kawasan Mediterranean, Andalusia, Antartika, Caribbean dan pelbagai tempat lagi.
Antara hujah lelaki itu, gunung berapi yang menenggelamkan Atlantis dirujuk sebagai satu kawasan yang paling kerap mengalami gempa bumi dan memiliki banyak gunung berapi aktif iaitu di Nusantara.
Mengenai suhu pula, Plato menegaskan bahawa penduduk Atlantis hidup dalam iklim tropika dengan pisang sebagai salah satu tanaman. Penduduk Atlantis dikatakan menanam tanaman dua kali setahun dan ia dikaitkan tanaman padi, gandum atau barli yang banyak ditemui di kawasan Timur Jauh.
Mengenai jumlah penduduk pula, Santos menegaskan Plato merujuk kepada sejumlah besar penduduk yang secara langsung menafikan dakwaan Atlantik di Eropah, Asia Utara dan Utara Amerika sebagai Atlantis kerana kawasan berkenaan ketika itu masih berais.
Kenyataan Plato bahawa Atlantis menghasilkan banyak bijih timah dan emas juga selaras dengan galian yang banyak terdapat di Asia Tenggara iaitu bijih timah dan emas sehingga pernah digelar ‘Semenanjung Emas’, ‘Gunung Emas’ dan ‘Bukit Besi Putih’.
Atlantis juga dikatakan disinari panas sepanjang tahun yang dikaitkan sebagai iklim tropika di kawasan berhampiran garisan Khatulistiwa.
Selain itu, terdapat umat Islam yang mengaitkan tenggelamnya Atlantis disebabkan peristiwa banjir besar Nabi Nuh AS.
Sejak wujudnya cerita Plato itu, misteri Atlantis terus menerus dikaji dan difantasi. Teori yang pelik turut kedengaran seperti kota Atlantis kini masih wujud di dasar laut dengan penduduknya menjadi ikan duyung.
Golongan skeptikal menamatkan misteri itu dengan babak yang mungkin seperti berikut - selepas selesai menceritakan mengenai kota Atlantis itu, Plato menghembuskan nafasnya dengan dada yang lapang. Dia berpuas hati dengan cerita hebatnya mengenai Atlantis.
Kepuasan Plato menghasilkan karya termasyhur itu mungkin sama saja seperti dirasai Steven Spielberg selepas sutradara Amerika Syarikat itu selesai mengarahkan filem fiksyen terhebatnya iaitu ‘ET’.
“Kalau begini, mungkin selepas ini kita boleh kaji dan cari lokasi ‘Middle Earth’ seperti di dalam filem ‘Lord of The Rings’ pula!” kata sinis seorang daripada kumpulan skeptikal itu.(Amin/Resta)
Rabu, 17 Maret 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar